Politik

Cikgu Suza cabar ‘Dato Talahah’ berani tampil diri

KUALA TERENGGANU: Pemilik akaun Facebook bernama ‘Dato Talahah” diminta tampil diri selepas melakukan tohmahan terhadap Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Holding Sdn. Bhd. dalam akaun Facebook tersebut, baru-baru ini.

Naib Pengerusi (Muda), Alumni 4B Negeri Terengganu, Muhd Suza Amsyari Sulaiman berkata, pemilik akaun tersebut perlu mengambil tanggungjawab di atas segala kenyataan yang telah dikeluarkan itu.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Suza berkata, sebagai rakyat Terengganu, beliau tidak mahu melihat reputasi agensi seperti Ketengah diperlakukan seperti diperkatakan Dato Talahah.

“Kami sebagai rakyat Terengganu juga sedar, agensi inilah (Ketengah) juga tempat kebanyakkan masyarakat luar bandar seperti di sebahagian Kemaman, sebahagian Dungun dan sebahagian Hulu Terengganu yang rata-ratanya berada dalam kategori masyarakat B40.

“Di sinilah, tempat sekalian rakyat marhein ini mengadu nasib mereka seharian,” katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun, Suara Timur difahamkan akaun Facebook Dato Talahah itu adalah akaun palsu.

Muhd Suza Amsyari berkata, sebagai seorang pengkritik politik, Dato Talahah wajar menjadikan amalan berpolitik yang berpegang kepada nilai etika politik secara keterbukaan dalam membina sebuah naratif dan persepsi politik yang lebih bertanggungjawab lagi bertamadun.

“Biarlah anda tunjukkan keberanian anda yang sebenar, sejati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

“Senang lagi sebut, jadikan lah diri kita sebagai contoh dan teladan kepada generasi baharu seperti mereka ini ke arah membina sebuah generasi yang celik politik matang dan terbuka, bukan menakutkan terus generasi muda pewaris tanah negeri dan negara ini dengan budaya tiada istilah tanggungjawab dengan penyataan yg dilemparkan.

“Ini adalah pemikiran yang salah tentang politik, jika betul anda adalah seorang yang betul-betul ikhlas dan seorang warga negeri yang bertanggungjawab dalam memperjuangkan nasib rakyat di negeri Terengganu.

“Jangan ambil sikap seperti pepatah Melayu lama berkata: “baling batu sembunyi tangan”,” katanya.

Pada masa sama, Muhd Suza Amsyari mengajak Dato Talahah sama-sama bergandingan perbetulkan sekiranya ada kesalahan untuk makmurkan tanah pertiwi pusaka turun-temurun ini.

“Jangan menulis dalam kelam dan jangan berbicara dalam serkam, buruk padahnya kita sebagai rakyat yang hanya punyai tanah berpijak di negeri ini sahaja.

“Adakah anda sanggup digelar sebagai pengkianat? dan sanggupkah anda juga digelar sebagai pembangsat kepada rakyat & negeri ini?

“Jauh sekali juga untuk meletak diri anda sebagai golongan faasiq seperti disebut dalam ayat Al-Hujurat,” katanya.

Beliau turut mencabar Dato Talahah berani menampilkan diri dan menunjukkan keberanian sebenar dengan penuh rasa tanggungjawab kepada bumi negeri ini dengan apa yang telah dicatatkan dan nukilkan dalam Facebooknya tempoh hari.

“Tunjukkan nilai perjuangan kita ini diasaskan dengan nilai perjuangan yang diadat resamkan oleh kita sebagai orang Melayu.

“Tunjukkanlah nilai perjuangan kita ini dididik dengan nilai ilmu keagamaan Islam yang berpegang teguh sebagai ahli sunnah wal-jama’ah,” tambahnya. – Suara Timur

Related Posts