TULID: Kerusi Dewan Undangan N.44 Tulid menjadi perhatian apabila mencatat persaingan terbesar dalam sejarah pilihan raya Sabah dengan 14 calon bersaing merebut mandat pengundi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon yang tinggi itu meletakkan Tulid sebagai kerusi paling sengit antara 73 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.
Antara yang mengetuai barisan ialah Rufinah Pengeran dari Pakatan Harapan, Mohd Khairil Abdullah mewakili UPKO, Dr Aisat Ellik Igau Inggau daripada KDM, Datuk Evaritus Gungkit membawa panji STAR, Lucia Khing dari Warisan dan Jufina Dimis mewakili Parti Rumpun Sabah.
Barisan parti kecil lain turut hadir melalui penyertaan Vinson Rusikan (PKS) dan Ancis @ Rayner Francis Udog dari Parti Impian Sabah. Keenam-enam calon bebas yang tampil pula, Jordan Jude Ellron, Suman @ Sunsunah Yasambun, Clarence Carter Maraat, Edwin Laimin, Engah Sintan @ Dahlan Abdullah, dan Lautis @ Laulis Anggang, menambah cabaran kepada parti besar apabila sebahagian daripada mereka mempunyai pengaruh setempat yang tersendiri.
Perkembangan paling menarik sejauh ini melibatkan penyertaan Jordan Jude Ellron, bekas Ketua Pemuda STAR, yang telah melepaskan jawatannya, memilih bertanding sebagai calon bebas selepas tidak disenaraikan oleh partinya.
Langkah beberapa parti tempatan menampilkan calon masing-masing turut menguatkan naratif bahawa Tulid kini menjadi medan pertembungan antara agenda parti nasional dan tawaran politik berteraskan identiti tempatan.
Tulid yang mempunyai lebih 16,000 pengundi sebelum ini dimenangi oleh STAR melalui Flovia Ng, namun keputusan lalu tidak lagi dilihat sebagai petunjuk yang kuat apabila undi dijangka berpecah dalam skala besar. Isu utama yang kerap dibangkitkan di kawasan ini merangkumi infrastruktur asas, keperluan ekonomi setempat, serta akses pendidikan dan kesihatan, sekali gus memaksa setiap calon menawarkan pendekatan yang lebih bersasar dan realistik.
Dalam situasi 14 penjuru, keupayaan calon menembusi kelompok pengundi tertentu dan mengekalkan sokongan teras mungkin menjadi faktor penentu kemenangan yang sebenar.
Dengan kempen diteruskan hingga ke hari pengundian 29 November, persaingan di Tulid dijangka menjadi antara yang paling dipantau pemerhati politik. SPR mengingatkan semua calon supaya mematuhi semua garis panduan kempen sepanjang tempoh yang ditetapkan. – TV Sabah
