Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Semua Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara disaran dapat melaksana dan meneruskan aktiviti ekonomi mereka secara berfokus bagi memastikan kehidupan lebih terjamin.
Pengerusi Lembaga Kermajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, persatuan nelayan kawasan berupaya menjadi penggerak ekonomi bagi nelayan di kawasan mereka melalui aktiviti perniagaan.
Menurutnya, pelbagai bantuan telah disediakan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan LKIM serta agensi lain termasuk bantuan modal menjalankan perniagaan.

Katanya, setiap persatuan nelayan kawasan perlu fokus dengan memberi tumpuan terhadap aktiviti ekonomi yang telah dijalankan mereka bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan itu boleh memberi manafaat kepada semua ahli persatuan.
“Projek ekonomi persatuan nelayan perlu diuruskan dengan baik dan perlu ada sikap konsistensi, janganlah berniaga sekerat jalan. Perniagaan yang diceburi harus berjalan setiap masa. Kita nak persatuan nelayan ni menjadi penggerak ekonomi nelayan,” katanya.
Muhammad Faiz berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jualan Agro Madani dan sesi libat urus bersama penerima lesen sampan di Kijal dekat sini hari ini.

Pada majlis itu Muhammad Faiz turut menyampaikan bakul makanan kepada 71 pemegang Lesen Sampan Khas (LSK) di daerah ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, beliau meminta semua penerima Lesen Sampan Khas supaya dapat memanafaatkan sepenuhnya lesen itu untuk turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun.
Menurutnya, lesen berkenaan hanya sah untuk tempoh setahun dan nelayan LSK perlu mematuhi semua syarat diberikan termasuk perlu turun ke laut menangkap ikan dengan minima 120 hari.
Kata, LKIM akan menarik balik lesen berkenaan sekiranya nelayan gagal mematuhi syarat ditetapkan dan semua bantuan tidak akan diberikan selepas ini. – Suara Timur
