Home NegeriPekebun rugi tanaman kelapa sawit dirosakkan gajah liar

Pekebun rugi tanaman kelapa sawit dirosakkan gajah liar

oleh suara timur

KEMAMAN: Pekebun di Kampung Neram di dekat sini berharap pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah serangan gajah liar yang terus merosakkan tanaman mereka.

Masalah yang berlarutan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan pekebun terpaksa menanggung kerugian besar selepas tanaman kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan mereka musnah.

Penduduk mendakwa, kumpulan gajah liar itu dipercayai keluar dari kawasan hutan simpan berhampiran dan masuk kebun-kebun penduduk berhampiran untuk mencari makanan.

SEBAHAGIAN pokok kelapa sawit yang dirosakkan gajah liar di Kampung Nera, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Dalam kejadian terbaharu Khamis lalu, kumpulan haiwan itu sekali lagi dikesan masuk ke kawasan tanaman dan memusnah puluhan pokok kelapa sawit yang telah mengeluarkan hasil.

banner

Seorang pekebun, Fizi Uji, 42, berkata, kejadian itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan pekebun, malah menimbulkan kebimbangan kerana ancaman haiwan liar itu semakin kerap berlaku.

Menurut Fizi, kemusnahan tanaman itu menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap kali kebun mereka diceroboh gajah liar.

“Memang saya sangat kecewa, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana hanya Allah SWT yang mengetahui perasaan ini. Penat lelah dan usaha yang dicurahkan akhirnya berdepan dengan keadaan seperti ini.

FIZI UJI

“Jika mahu memulakan semula, sudah tentu memerlukan modal yang besar. Saya hanya berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang pada masa akan datang.” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan rondaan untuk menghalau haiwan berkenaan, namun ia hanya bersifat tindakan sementara.

Katanya, beliau berharap langkah jangka panjang dapat dilaksanakan bagi mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar itu daripada terus berulang.

Sementara itu, tambahnya, pelan tindakan jangka pendek dan pelan jangka panjang kini dalam proses perbincangan akhir untuk dilaksanakan oleh pihak berkaitan.

“Antara jalan penyelesaiannya ialah membina pagar elektrik dan mewujudkan kawasan tempat pengumpulan makanan bagi mengelakkan kumpulan gajah liar itu masuk ke kawasan kebun,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen