DUNGUN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengarahkan anggotanya di semua negeri terutamanya di Pantai Timur agar bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan November depan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd. Rahman berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan kesiapsiagaan aset darat dan air serta anggotanya berada pada tahap optimum sebelum ketibaan musim tengkujuh.
“Arahan pengoperasian kepada semua negeri untuk melihat semula aset darat dan air, serta latihan melibatkan anggota telah dikeluarkan.
“Kita sedang dalam proses melakukan penambahbaikan terhadap mana-mana aset memerlukan penyelenggaraan,” katanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan majlis Penutup Perkhemahan Integrasi dan Pertandingan Kemahiran Tunas Pertahanan Awam.
Ghazali berkata, APM mempunyai lebih 7,000 anggota dan pegawai di seluruh negara, selain boleh menggerakkan anggota tambahan dalam kalangan anggota sukarelawan untuk sokongan sekiranya berlaku bencana berskala besar.
Menurutnya, tumpuan kesiapsiagaan diberikan kepada negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang yang sering berdepan risiko banjir ketika musim MTL.
“Bagi tiga negeri di Pantai Timur, setiap negeri sekurang-kurangnya mempunyai 300 hingga 400 anggota pasukan first responder (respons awal) yang boleh digerakkan untuk kesiapsiagaan di setiap negeri,” katanya. –Kosmo
