Mahkamah dan Jenayah

Rompak kedai emas guna parang, serbuk cili sebelum kena cekup

LANGKAWI: Seorang lelaki bersenjatakan parang dan serbuk cili bertindak nekad merompak kedai emas di Jalan Pandak Mayah, Kuah, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi itu, suspek dipercayai seorang lelaki tempatan berjaya diberkas polis berhampiran tempat kejadian tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketika kejadian, premis berkenaan dikendalikan seorang lelaki dan pembantu wanita masing-masing berusia 69 dan 60 tahun.

“Sebaik memasuki premis, suspek yang memakai penutup muka bertindak mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai, sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan parang.

“Suspek sempat melarikan sejumlah emas bernilai kira-kira RM50,000.

“Bagaimanapun, suspek dikejar pemilik kedai bersama orang awam sebelum berjaya diberkas anggota polis yang meronda berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Shariman berkata, suspek yang juga lelaki tempatan berusia 45 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata,” katanya. – Harian Metro






Related Posts