Home Mahkamah dan JenayahBekas Pengerusi JPKK Tuan Mandak diarah bayar Ahmad Razif RM280,000

Bekas Pengerusi JPKK Tuan Mandak diarah bayar Ahmad Razif RM280,000

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tuan Mandak diarahkan membayar pampasan RM280,000 kepada Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati memfitnah bekas Menteri Besar Terengganu tersebut pada tahun lalu.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff juga memerintahkan defendan, Saik Abdullah Tuan Tengah, 64, membuat permohonan maaf secara bertulis dan video terhadap Ahmad Razif dalam tempoh 14 hari.

Beliau berkata, pampasan RM280,000 itu meliputi ganti rugi am sebanyak RM200,000, ganti rugi teruk (RM60,000) dan kos guaman (RM20,000) dengan kadar faedah lima peratus setahun.

banner

Berdasarkan penyataan writ saman dikemukakan Ahmad Razif, Saik Abdullah didakwa membuat tuduhan tidak berasas yang boleh menjatuhkan reputasinya.

Komen berunsur fitnah yang dimuat naik Saik Abdullah di Facebook pada 28 Mac 2025 tersebut didakwa secara jelas menggambarkan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu sebagai seorang pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa.

Ahmad Razif diwakili Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Fatini Athirah Baharin dari firma guaman, Tetuan Ahmad Zaidi & Partners manakala Saik Abdullah pula tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam satu kenyataan berkata, mahkamah mendapati komen yang dimuat naik defendan secara jelas merujuk kepada beliau serta mengandungi tuduhan serius kononnya beliau menyalahgunakan kuasa ketika menjawat jawatan Menteri Besar untuk memperkayakan diri dan keluarga, menerima habuan daripada pihak tertentu serta terlibat dalam aktiviti rasuah.

Menurut beliau, video yang mengandungi komen berunsur fitnah itu telah ditonton kira-kira 273,000 pengguna Facebook dan menerima 102 tanda suka.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan Surat Tuntutan kepada defendan pada 17 April 2025, namun defendan hanya memadamkan komen berkenaan tanpa mengemukakan permohonan maaf atau memberikan sebarang aku janji.

“Defendan juga gagal memberi respons terhadap writ saman yang diserahkan dan tidak hadir semasa kes dipanggil di mahkamah,” katanya.

Ahmad Razif turut menzahirkan rasa syukur atas keputusan berkenaan yang menurutnya berjaya membersihkan nama baik serta mempertahankan maruah dirinya dan keluarga melalui saluran perundangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Fatini Athirah Baharin atas khidmat guaman serta usaha mereka mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, keputusan itu diharap menjadi peringatan kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah terhadap mana-mana individu.

“Benar tetap benar. Keadilan akhirnya ditegakkan,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen