Mahkamah dan Jenayah

3 pegawai PBT terima suapan RM25,000 direman SPRM

KUALA TERENGGANU: Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM25,000 sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.

Mereka direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Menurut sumber, ketiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 40 dan 50-an ditahan pada 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati ketiga suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari 2015 hingga 2019.

“Mereka dipercayai menerima rasuah dengan jumlah berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM25,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada sebuah syarikat,” katanya.

Sumber memberitahu, tangkapan itu adalah susulan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan pada Januari lalu membabitkan rasuah berjumlah RM900,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga suspek dan kes disiasat di mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek terbabit, beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan. – Suara Timur

Related Posts