Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Seorang warga emas maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4X4) dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat sini petang semalam.
Mangsa, Zainal Abidin Zakaria, 63 seorang kontraktor dipercayai mengalami masalah jantung ketika memandu menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semalam di kilometer 319.4 berhampiran dengan susur keluar Plaza Tol Kerteh di sini.
Ketika kejadian, kenderaan dipandu mangsa itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Hulu Terengganu menuju ke Meru, Klang, Selangor.
Siasatan awal polis mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar dan bergesel dengan besi penghadang di sebelah kiri jalan.
Kenderaan berkenaan kemudiannya dikatakan terseret sejauh kira-kira 44 meter sebelum berhenti,” katanya dalam kenyataan jari in
Susulan kejadian itu, Zainal Abidin dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas kejadian.
Dalam kejadian itu, seorang penumpang hadapan yang juga rakan mangsa, Abdul Rahman Zakaria, 52 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan keputusan bedah siasat malam tadi mengesahkan mangsa mengalami serangan jantung.
Kes disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Suara Timur
