Negeri

44 pelajar SMK Permai, Kemaman pelajari teknik kendali radio amatur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 44 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai di sini, teruja dapat mempelajari teknik mengendali radio amatur dan peralatan radas yang dikendalikan Kelab Radio Amatur dan Rekreasi (PEMANCAR) Negeri Terengganu.

PEMANCAR dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, pelajar terlibat diberi kesempatan mempelajari radio amatur sempena Program CQ MERDEKA 2025 Semangat Patriotisme Melalui Gelombang Udara PEMANCAR sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 tahun ini.

Program tersebut diadakan di Penyu Beach Camp, Pantai Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus,  30 dan 31 Ogos lalu.

Pelajar tersebut diiringi empat guru pengiring diketuai Wan Abdul Ghani Wan Yusuf.

Presiden PEMANCAR, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop berkata, pelajar terlibat diberi penerangan mengenai etika operasi radio amatur, sesi pengenalan Radio HF, fungsi radio HF, antena, dan kawalan stesen serta demonstrasi pancaran dan penerimaan CQ dan membangunkan pengulang (repeater) apabila pengendali radio amatur mendapat lesen AA (lesen repeater) yang diiktiraf Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Presiden PEMANCAR, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop memberi penerangan mengenai penggunaan radio amatur kepada pelajar SMK Permai, Kemaman pada Program CQ MERDEKA 2025 Semangat Patriotisme Melalui Gelombang Udara PEMANCAR sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Penyu Beach Camp, Pantai Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus, baru baru ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal PEMANCAR juga turut memberi penerangan mengenai pengenalan kelab radio, cara komunikasi yang berhemat menggunakan Q-Qode mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Konmunikasi dan Multimedia Malaysia.

Selain itu, katanya, PEMANCAR juga memberi penerangan ringkas mengenai Peperiksaan Radio Amatur (ORAE) bagi mendapat lesen kelas C, B dan A serta syarat kelayakan, kandungan ujian, cara daftar dan belajar.

Presiden PEMANCAR, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop

Mohd Sukri berkata, radio amatur adalah perkhidmatan radio komunikasi yang digunakan bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan penyiasatan teknikal yang dijalankan oleh individu yang memegang lesen radio amatur.

“Pengendali radio amatur  dikenali sebagai “Ham Radio” dan terdapat lebih tiga juta pengendali di serata dunia dan mereka berpeluang berhubung di antara sama lain,” katanya.

Mohd Sukri memberitahu, ketika berlaku bencana, radio amatur amat berguna, terutamanya kepada agensi-agensi pasukan mencari dan menyelamat.

“Dalam keadaan darurat seperti bencana alam, peranan radio amatur amat menonjol di dalam memberikan kemudahan perhubungan bagi melancarkan tugasan,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts