SUNGAI PETANI – Empat lelaki dilaporkan terkandas ketika mendaki Gunung Jerai selepas kesemua mereka gagal dihubungi keluarga sejak Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis daripada keluarga mangsa sekitar jam 9 malam Jumaat.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada Mohd Syafiq Asraf Said, 32, dari Taman Desa Aman Sungai Lalang, Mohd Asraf Rosni, 34, dari Taman Kelisa Ria, Muhamad Aiman Norazam, 26, Taman Seri Bayu dan Muhamad Zulfahmi Zulkefli, 25, dari Kampung Gunung Jeli, Kelantan.
“Mereka dilaporkan memulakan pendakian melalui Hutan Lipur Tupah pada jam 6.30 pagi namun gagal dihubungi selepas jam 7 malam.
“Keluarga yang bimbang telah membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan bersama pasukan bomba bermula jam 10.47 malam di Loji Rawatan Air (LRA) Syarikat Air Darul Aman (SADA) Tupah.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya dikesan pada jam 4.30 pagi dan diturunkan dengan bantuan pasukan bomba dalam keadaan selamat,” katanya. – Sinar Harian