KOTA BHARU: Kelantan berada di kedudukan ketiga tertinggi di negara ini selepas Terengganu dan Perlis bagi kadar penagih dan penyalahgunaan dadah per 100,000 penduduk.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata Kelantan menyaksikan penurunan 5.4 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kelantan mencatatkan seramai 11,280 penagih, data yang sama turut menunjukkan negeri ini berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia bagi kadar penagih dan penyalahgunaan dadah per 100,000 penduduk, dengan 597 kes.
“Kedudukan ini adalah selepas Terengganu yang merekodkan 663 kes dan Perlis dengan 609 kes.
“Selain itu, Kedah (553 kes) dan Pahang (495 kes) turut merekodkan negeri keempat dan kelima tertinggi berkaitan dadah.
Walau bagaimanapun, kadar ini (Kelantan) menunjukkan penurunan sebanyak 5.4 peratus jika berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ruslin berkata, berdasarkan laporan AADK bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) adalah yang tertinggi di Kelantan dengan kebanyakannya membabitkan pil kuda.
Katanya, ia membabitkan seramai 10,071 orang atau 89.3 peratus daripada keseluruhan kes.
“Ini diikuti penggunaan dadah jenis opiat dengan 766 kes, pil psikotropik sebanyak 277 kes dan ganja yang merekodkan 41 kes serta lain-lain kategori bahan ketagihan adalah sebanyak 277 kes.
“Statistik dadah di beberapa negeri adalah tinggi disebabkan bersempadan dengan negara jiran,” katanya. – Berita Harian