Home NegeriTaman Mawar bakal jadi kawasan perumahan angkat PPKK Batu 2½

Taman Mawar bakal jadi kawasan perumahan angkat PPKK Batu 2½

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Kawasan Perumahan Taman Mawar, Kampung Tempurung dekat sini bakal dijadikan kawasan perumahan angkat Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Klinik Kesihatan Batu 2½, Kemaman.

Pengerusi PPKK Batu 2½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dan kebersihan dalam kalangan komuniti setempat.

Katanya, antara program yang dilaksanakan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan perumahan menerusi Program Kawalan Denggi “Mission Zero Denggi” dengan kerjasama Klinik Kesihatan Batu 2½, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Unit Vektor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman.

banner

“PPKK Batu 2½ turut menjadikan Surau Taman Mawar sebagai ‘Surau Angkat’ bagi menyampaikan maklumat kesihatan serta hebahan berkaitan aktiviti klinik kepada komuniti.

AHLI Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½ memasang papan maklumat kesihatan sempena Program Kawalan Denggi “Mission Zero Denggi” di Surau Perumahan Taman Mawar, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kami juga bercadang memperluas peranan surau sebagai lokasi saringan dan taklimat kesihatan, selain menjadi platform membincangkan hal ehwal komuniti seperti aktiviti gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemasangan papan Info Kesihatan dan pengiktirafan Surau Taman Mawar sebagai “Surau Angkat” PPKK Batu 2½, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Klinik Kesihatan Batu 2½, Pakar Perubatan Keluarga Dr Nini Shuhaida Mat Harun dan wakil komuniti Taman Mawar, Julia Abu Bakar.

Wan Norsuriya berkata, PPKK Batu 2½ merancang mengadakan Program Penutup Projek Kawalan Denggi “Mission Zero Denggi” dan Hari Terbuka PPKK Bersama Komuniti pada minggu ketiga September ini.

Antara aktiviti dirancang ialah taklimat dan pameran denggi, saringan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, Anugerah Rumah Bebas Aedes serta simbolik menjadikan Taman Mawar sebagai kawasan perumahan angkat PPKK Batu 2½.

Turut diadakan penyampaian sijil kepada rakan strategik Projek “Mission Zero Denggi” dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Julia Abu Bakar berkata, komuniti Taman Mawar menyambut baik cadangan menjadikan kawasan berkenaan sebagai perumahan angkat PPKK Batu 2½.

Beliau yang juga mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok 2 (SEBARU) berkata kerjasama berterusan Klinik Kesihatan Batu 2½ dan PPKK banyak membantu komuniti meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan Aedes dan denggi.

“Semoga usaha bersama ini dapat memastikan Taman Mawar bebas daripada pembiakan Aedes dan penyakit denggi,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen