Oleh MUKHATAR A RAHMA
KEMAMAN: Penduduk di kawasan Pantai Peranginan Teluk Kalong di sini mendesak pihak terbabit dapat mengambil tindakan segera untuk membersihkan sisa tumpuahan arang batu di pantai berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Mereka mendakwa, sisa arang batu itu dipercayai berpunca daripada sebuah tongkang yang sedang dalam kerja-kerja pemotongan struktur badan untuk dilupuskan selepas karam di pantai itu Januari lalu.
Penduduk mendakwa, sisa arang batu itu dikatakan dihanyutkan arus ketika air laut pasang dan terdampar lebih 300 meter sepanjang pantai yang menjejaskan kebersihan serta keindahan pantai.
Seorang penduduk, Azhar Ngah, 64, berkata kawasan pantai itu pernah mengalami pencemaran sama Januari lepas susulan tumpahan arang batu daripada tongkang yang sama namun telah dibersihkan bagi memelihara kebersihan serta kelestarian ekosistem pesisir pantai berkenaan.
“Dalam dua tiga hari ini, sejak ombak kuat, keadaan jadi begini dan mengganggu nelayan untuk turun ke laut.
“Kadang-kadang pengunjung dari luar termasuk dari Kuantan datang ke sini. Jadi, kita minta kawasan ini dibersihkan semula supaya pantai kita kembali bersih dan lebih cantik,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang nelayan, Mohamad Azrul Naim Rahim berharap tindakan pembersihan segera perlu dilakukan kerana sisa arang batu berkenaan agak banyak dan mencacatkan mata pengunjung ke pantai itu..
Menurutnya, dia terkejut melihat kedaan pantai berkenaan yang sebelum ini bersih telah dicemari bahan pepejal berwarna hitam itu sejak tiga hari lepas.
“Saya minta pihak berkenaan mengambil tindakan segera membersihkan kawasan yang terdapat sisa arang batu ini kerana ia mengganggu para nelayan dan orang yang hendak mandi-manda di sini,” katanya.
Beliau berkata, pencemaran arang batu kali ini tidak begitu serius berbanding kejadian Januari lepas apabila jumlah sisa di kawasan persisiran pantai berkenaan didapati lebih sedikit dan tidak meliputi kawasan yang luas.
“Penduduk bimbang tumpahan sisa arang batu dari tongkang berkenaan akan bertambah selepas ini ekoran kerja-kerja pemotongan badan tongkang masih dilakukan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata pihaknya meminta Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian pencemaran arang batu yang merupakan kejadian kedua di pantai berkenaan tahun ini.
“Agensi terlibat turut diarah mengambil tindakan segera membersihkan arang batu di pantai berkenaan, sekali gus memastikan kawasan persisiran pantai kembali bersih, selamat dan selesa dikunjungi,” katanya. – Suara Timur
Penduduk desak bersih segera pencemaran arang batu di Pantai Teluk Kalong
47
