Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Pengguna jalan raya di Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, di sini, bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran di laluan utama berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Kemunculan kumpulan haiwan liar di laluan berkenaan dipercayai pertama kali berlaku sejak lebih 50 tahun lalu.
Dalam kejadian pagi tadi, kumpulan gajah liar itu dikesan berada di tepi jalan berkenaan sebelum melintas jalan untuk masuk ke kawasan ladang sawit berhampiran.

Kumpulan haiwan liar itu dipercayai adalah kumpulan sama yang sebelum ini dikesan berkeliaran di sekitar Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) di sekitar Plaza Tol Cheneh.
Seorang penguna jalan berkenaan, Hasibi Jaafar berkata, situasi berkenaan turut menimbulkan kebimbangan penduduk kerana pergerakan haiwan liar itu yang terlalu dekat dengan jalan raya boleh menyebabkan berlaku kemalangan dan bahaya kepada pengguna, terutama pada waktu malam dan awal pagi.

“Pada pagi tadu, saya tengok ada lebih kurang 10 ekor gajah berkeliaran di tepi jalan ini. Saya bimbang sekiranya kumpulan gajah itu melintas jalan dan membahayakan pengguna yang melalui jalan ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd Zamzuri Hassan berkata, beliau berharap pemantauan serta tindakan segera dapat dilakukan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, selain mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Memang bahaya kalau gajah-gajah itu berkeliaran di kawasan ini. Baru-baru ini pun sudah berlaku kemalangan melibatkan gajah di lebuh raya.
“Sekarang ini gajah-gajah tersebut dilihat sentiasa berkeliaran di kawasan ini, mungkin kerana habitat atau kawasan mereka telah terganggu, sehingga menyebabkan mereka keluar dan berkeliaran ke kawasan berhampiran jalan serta penempatan,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengadakan kawalan pada waktu malam serta pemantauan menggunakan teknologi dron di kawasan berkenan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.
“Para pengguna jalan juga dinasihati tidak panik atau cuba menghampiri gajah, selain tidak membaling objek, membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi dan lampu suluh ke arah haiwan berkenaan,” katanya. – Suara Timur
