KEMAMAN: Kampung Bukit Mentok di sini hari ini secara rasmi menjadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman, sekali gus kampung ketujuh mengadaptasi model Kampungku Celik Ubat di Terengganu.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Ruzita Awang, Pegawai Daerah Kemaman Nazwawi Harun, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman Dr Mohd Shafik Abd Majid dan Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar.
Program anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, Hospital Kemaman, Persatuan Farmasi Malaysia Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman, JPKK Kampung Bukit Mentok serta pimpinan dan komuniti setempat.

Inisiatif Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat diperkenalkan pada 2019 dengan Kampung Gong Lingai, Kuala Nerus sebagai kampung perintis, susulan pengalaman pelaksanaan aktiviti pendidikan berkaitan ubat dalam kalangan komuniti yang dimulakan sejak 2017.
Sejak itu, pendekatan berkenaan diperluaskan secara berfasa meliputi Kampung Kayu Kelat di Besut, Kampung Getang (Hulu Terengganu), Kampung Burung Baru (Dungun), Kampung Rawai (Marang), Kampung Baru Penarik (Setiu) dan kini Kampung Bukit Mentok (Kemaman).
Dengan pengiktirafan Kampung Bukit Mentok tahun ini, tujuh kampung model kini mewakili tujuh daerah di Terengganu, manakala Kuala Terengganu dijangka melengkapkan senarai berkenaan pada tahun hadapan.
Lima komponen, 10 inisiatif strategik
Kampungku Celik Ubat bukan sekadar program pendidikan berkaitan penggunaan ubat, sebaliknya merupakan model komuniti yang berstruktur dan mampan menerusi lima komponen serta 10 inisiatif strategik.

PENGARAH Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad menandatangani plak perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. – SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMAN
Lima komponen itu meliputi pengupayaan komuniti melalui Duta Kenali Ubat Anda (DKUA), jalinan komuniti dan anggota farmasi dalam penjagaan pesakit kronik, masjid sebagai pusat celik ubat, sekolah celik ubat serta penyampaian informasi cakna ubat dalam persekitaran kampung.
Dalam model berkenaan, Duta Kenali Ubat Anda berperanan sebagai penggerak dan penghubung antara komuniti dengan perkhidmatan farmasi, termasuk menyampaikan mesej asas mengenai penggunaan ubat yang betul, membuat hebahan maklumat serta menjadi rujukan awal masyarakat sebelum mendapatkan khidmat anggota farmasi.
Pendekatan itu turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian melalui penubuhan Jawatankuasa Penggerak Kampungku Celik Ubat di peringkat komuniti yang berperanan merancang, melaksanakan dan memastikan kesinambungan aktiviti celik ubat dengan sokongan teknikal pasukan farmasi.

Bukit Mentok jadi pencetus
Di Kampung Bukit Mentok, pelaksanaan Kampungku Celik Ubat diperkukuhkan menerusi pelbagai pendekatan yang melibatkan komuniti secara langsung, antaranya Pharmacy Integrated Community Care (PICC), Sudut Kenali Ubat Anda di masjid, sekolah dan balai raya serta aktiviti pendidikan bersama institusi pendidikan.
Ia turut merangkumi kunjungan mesra kepada komuniti dan aktiviti yang menggalakkan gaya hidup aktif serta sihat.
Seramai tujuh Duta Kenali Ubat Anda dari Kampung Bukit Mentok turut dilantik sebagai penggerak kesihatan komuniti bagi memastikan mesej mengenai penggunaan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan dapat disampaikan secara berterusan.
Pelaksanaan inisiatif itu diharap bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bukit Mentok, malah menjadi titik permulaan kepada peluasan impak celik ubat ke seluruh daerah Kemaman.
Pendekatan yang dilaksanakan di kampung berkenaan juga boleh dijadikan contoh untuk dikembangkan ke kampung lain melalui kerjasama komuniti, Duta Kenali Ubat Anda, pasukan farmasi, Pejabat Daerah, agensi kerajaan serta rakan strategik.
Bermula dari Kampung Bukit Mentok, lebih ramai Duta Kenali Ubat Anda diharap dapat dilahirkan, sekali gus memperkasakan komuniti dan membentuk masyarakat Kemaman yang lebih celik ubat serta cakna terhadap kesihatan.
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat serta pendekatan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit yang menekankan penglibatan aktif komuniti dalam membentuk persekitaran dan gaya hidup lebih sihat. – Suara Timur
