Home NegeriDemi impian anak, ibu bapa sanggup tempuh perjalanan jauh dengan ambulans

Demi impian anak, ibu bapa sanggup tempuh perjalanan jauh dengan ambulans

oleh suara timur

KEMAMAN: Demi merealisasikan impian anaknya yang menghidap kanser otak tahap empat untuk menghadiri majlis konvokesyen, sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan selama dua hari dengan ambulans dari Arau, Perlis, ke Banting, Selangor, sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu.

Bagi Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, kehadiran kedua ibunya ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (UC TATI) ke-26 di sini semalam cukup bermakna selepas beliau disahkan menghidap penyakit itu ketika berada di tahun akhir pengajian.

Meskipun bergantung pada bantuan oksigen, Afiq berjaya menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) dan menerima Anugerah Khas Aegrotat pada majlis berkenaan.

MUHAMMAD Afiq Mohd Hairul Fahmy ditemani ibu bapanya ketika menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI ke-26 di Kemaman, semalam.

Bapanya, Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, yang juga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata keinginan anaknya untuk menghadiri sendiri majlis konvokesyen itu mendorong keluarga mereka berusaha membawa Afiq ke Kemaman walaupun menyedari keadaan kesihatannya tidak mengizinkan perjalanan jauh.

banner

Beliau berkata keluarga itu pada awalnya turut mempertimbangkan penerbangan ihsan bagi memudahkan perjalanan Afiq, namun terpaksa membatalkan hasrat berkenaan selepas mengambil kira nasihat doktor.

MEJAR  (Dr.) Muhammad Faiq Hashim (kiri) bersama pembantu perubatan dari Hospital Angkatan Tentera ke-96 (96 HAT) yang mengiringi Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy dalam perjalanan ke Kemaman demi merealisasikan hasratnya menghadiri Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman semalam.

“Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh. Kami tempuhi perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini kerana keperluan kesihatannya.

“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya, malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat,” katanya.

MUHAMMAD  Afiq Mohd Hairul Fahmy diiringi kedua ibu bapanya diberi penghormatan oleh rakan-rakannya untuk ke pentas Majlis Konvokesyen Kolej TATI ke-26 di Kemaman semalam.

Beliau berkata keluarga itu kemudian memilih perjalanan menggunakan ambulans bagi memastikan keperluan kesihatan Afiq dapat dipantau sepanjang perjalanan.

Pada majlis berkenaan, Afiq yang berkerusi roda ditemani kedua-dua ibu bapanya ketika menerima anugerah yang disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato’ Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid. – Suara Timur

Tinggalkan komen