Home NegeriKelibat 2 ekor gajah liar kejutkan penduduk Felda Selasih

Kelibat 2 ekor gajah liar kejutkan penduduk Felda Selasih

oleh suara timur

BESUT: Kelibat dua ekor gajah berkeliaran di kawasan Felda Selasih mengejutkan penduduk yang sedang berehat di rumah masing-masing, malam tadi.

Salah seorang penduduk, Muhammad Afiq Mamat, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di kerusi hadapan rumah kira-kira jam 12.40 tengah malam.

Katanya, pada mulanya dia menyangka anjing liar yang dihalaunya kembali semula ke kawasan rumah namun terkejut apabila melihat dua ekor gajah liar melalui bahagian tepi rumahnya.

“Anggaran jarak saya berdiri dengan gajah itu kira-kira lima meter sahaja walaupun rasa takut tetapi saya tetap memberanikan diri untuk merakam video kehadiran binatang liar itu di kawasan rumah.

banner

“Ini kali pertama saya lihat gajah dalam jarak terlalu dekat biasanya hanya terserempak dengan gajah apabila melalui kawasan hutan dari jarak jauh,” katanya ketika ditemui di Felda Selasih, di sini, hari ini.

Sementara itu, jirannya, Rosnani Tahir, 62, berkata, dia juga masih belum tidur ketika kejadian itu berlaku kerana menjaga suami sakit yang berada di ruang tamu.

Katanya, dia sempat mendengar bunyi bising dari luar rumah tetapi menyangka polis mengejar pencuri namun apabila keluar rumah dia dimaklumkan ada gajah berkeliaran di kawasan itu.

“Gajah itu datang dari arah depan sebelum melalui kawasan tanaman nanas saya untuk ke belakang rumah pertama menghala ke rumah ketujuh,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen