KUALA TERENGGANU: Perjalanan lebih jauh dari Ayer Keroh, Melaka ke Terengganu tidak menghalang Proz United daripada mencuba pengalaman baharu apabila tujuh pemain kelab itu tampil buat pertama kali dalam kejohanan tenis di luar negeri kelahiran mereka.
Malah, bagi kapten pasukan Jailani Nordin, 50, faktor usia dan jarak perjalanan bukan alasan untuk terus kekal dalam lingkungan persaingan yang sama selepas Proz United bergerak sebagai komuniti tenis sejak lapan tahun lalu.
Beliau berkata penyertaan dalam Kejuaraan Tenis Terbuka Terengganu 2026 memberi peluang kepada pasukannya mengukur kemampuan berdepan pemain dari negeri lain, selain menjadi permulaan kepada usaha mereka memperluaskan penyertaan dalam kejohanan domestik.

“Faktor usia bukan halangan walaupun hadir berstatus kelab bukan pilihan untuk kejuaraan ini namun kami tetap teruja untuk beraksi di sini untuk jelajah pertama kami sejak penubuhan.
“Sudah tentu setiap pasukan bertanding ingin menaiki podium, begitu juga kami namun sasaran awal untuk kami sekurang-kurangnya meletakkan pasukan dalam kelompok 5 terbaik untuk kejuaraan ini,” ujarnya.

Proz United mempertaruhkan tujuh pemain untuk menyertai kesemua kategori yang dipertandingkan, termasuk kategori 50 tahun ke atas, bagi memastikan setiap pemain berpeluang merasai suasana pertandingan kompetitif.
Penyertaan itu juga memperlihatkan perkembangan Proz United daripada sebuah komuniti kecil yang pada awalnya dibentuk untuk aktiviti bermain tenis kepada pasukan yang kini mula berani membawa pemainnya bersaing di luar Melaka.
Kejuaraan Tenis Terbuka Terengganu 2026 berlangsung selama dua hari bermula 2 Oktober, dengan tiga kategori berpasukan dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, 40 tahun ke atas dan 50 tahun ke atas.
Setiap kategori turut menawarkan hadiah wang tunai kepada pasukan yang muncul juara, sekali gus menjadikan kejohanan berkenaan medan untuk Proz United mendapatkan pengalaman pertama dalam jelajah kompetitif mereka di luar Melaka. – Suara Timur
