DUNGUN: Seorang bekas mudir direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki tahun lalu.
Perintah tahanan reman sehingga Khamis dikeluarkan Majistret Ng Yan Ni hari ini, selepas membenarkan permohonan polis untuk melakukan siasatan mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, suspek yang kini guru sambilan hafazan al-Quran di sebuah sekolah agama di daerah ini ditahan di kediamannya di Paka, kira-kira jam 11 malam tadi.
Menurutnya, suspek ditahan selepas pihak polis menerima tiga laporan berhubung kejadian itu.
“Suspek dipercayai mengarahkan mangsa berusia antara berusia 13 hingga 14 tahun supaya melakukan perbuatan seksual terhadapnya.
“Kejadian dipercayai berlaku berasingan antara April hingga September tahun lalu di sebuah maahad tahfiz,” katanya.
Nik Ab Halim berkata, maahad tahfiz berkenaan bagaimanapun sudah ditutup Oktober tahun lalu.
“Beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung dengan kes berkenaan,” katanya.- Berita Harian
