Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas memperdaya seorang mangsa menyertai skim ‘Kutu Lelong’ dengan menyerahkan wang berjumlah RM10,250.00 pada Oktober lalu.
Tertuduh, Noor Suzila Adnan, 27 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut fakta pertuduhan, wanita terbabit didakwa telah menipu seorang wanita berusia 32 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh untuk menyerahkan wang pelaburan kepada ‘Kutu Lelong’ atau tertuduh.

SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Wanita terbabit juga telah secara tidak jujur mendorong mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM10, 250 ke dalam akaun milik tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara pukul 10.23 pagi hingga 10.41 malam pada 23 Oktober hingga 19 November lalu di Kampung Laut, Pasir Gajah, di sini.
Wanita terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574), sabit kesalahan tertuduh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga dikenakan denda.
Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin.
Media sebelum ini melaporkan, wanita terbabit diburu polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan dikenali ‘Kutu Lelong’ dari Julai hingga November tahun ini yang menyebabkan kerugian kira-kira RM701,000 selepas 12 laporan polis dibuat kesemua mangsa. – Suara Timur
