JELI: “Sepuluh tahun lalu, saya perlu ke zoo untuk lihat gajah, namun hari ini keadaan berbeza apabila gajah pula yang datang ke rumah saya hampir setiap bulan.”
Demikian luahan Sidik Shaari, 48, penduduk Kampung Batu Melintang di sini yang menjadi mangsa ancaman gajah dalam tempoh 10 tahun ini.
Beliau yang berniaga kedai makan berkata, ancaman gajah semakin menjadi-jadi sehingga kedai makan miliknya turut dirosakkan sekumpulan haiwan itu.
“Sebulan sekali atau dua bulan sekali mesti gajah datang di kawasan kedai saya. Bukan seekor tetapi sehingga 10 ekor datang.
“Macam-macam keadaan ketika mereka datang, ada ketikanya tidak mengganas, namun ada ketikanya habis barang di dapur saya diambilnya termasuk serbuk kopi dan sos cili terutama ketika waktu binatang itu lapar.
“Malah tingkap dan pintu rumah saya sehingga kini tidak dibaik pulih akibat dipecahkan sekumpulan gajah,” katanya ketika ditemui.
Tambah Sidik, jika dahulu gajah akan keluar pada awal pagi, namun kini waktu petang pun binatang itu sudah keluar.
“Setiap kali keluar, saya akan menghubungi PERHILITAN untuk bantuan kerana saya sendiri takut memandangkan yang datang sekumpulan bukannya seekor.
“Saya turut berharap kerajaan atau PERHILITAN mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ancaman hidupan liar ini,” katanya.
Terdahulu BH melaporkan sekurang-kurangnya lima negeri berdepan masalah gangguan gajah serta harimau dipercayai berpunca kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar. – Berita Harian