Home NasionalBayi antara empat maut treler hempap kereta di Lebuhraya Karak

Bayi antara empat maut treler hempap kereta di Lebuhraya Karak

oleh suara timur

KUANTAN: Empat termasuk seorang bayi perempuan maut selepas kereta dinaiki dihempap treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Karak, Bentong, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26 dan Nayla Afya Aizat,1.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pemandu lori treler berusia 40 tahun cedera.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.35 petang.

banner

“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi kejadian kira-kira 28 kilometer dari balai untuk operasi menyelamat.

“Anggota bersama jentera yang tiba di lokasi jam 5.15 petang bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Honda City menggunakan peralatan menyelamat khas,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan manakala pemandu treler berbangsa india hanya mengalami kecederaan.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dibantu Pasukan Bomba Sularela (PBS) Elektriksolar Janda Baik.

“Sebuah jentera berat milik syarikat konsesi lebuh raya digunakan untuk mengangkat treler bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” ujarnya.

Mohd Salahuddin berkata, semua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sinar Harian

Tinggalkan komen