Home Mahkamah dan JenayahMahkamah putuskan hantaran Facebook tuduh Azlan Al Amin scammer bersifat fitnah

Mahkamah putuskan hantaran Facebook tuduh Azlan Al Amin scammer bersifat fitnah

oleh suara timur

SHAH ALAM:  Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini telah memutuskan usahawan hartanah terkenal, Datuk Mohamad Azlan  Abdullah @ Ali atau lebih dikenali Azlan Al Amin berjaya dalam tuntutan fitnah yang difailkan terhadap Shahruldi Mahafiz Ramli berhubung beberapa hantaran Facebook yang diterbitkan oleh defendan.

Hakim Nor Hayati Mat memutuskan dua daripada hantaran yang dipertikaikan adalah bersifat memfitnah plaintif.

Antara maksud fitnah yang diterima oleh Mahkamah ialah dakwaan  plaintif merupakan seorang penipu serta dakwaan plaintif terlibat dalam penipuan berkaitan urusan hartanah.

MOHAMAD Azlan (tengah)  bersama peguam mewakilinya, Fahmi Adilah dan Noryani Rais.

Berhubung ganti rugi, mahkamah berkenaan memerintahkan supaya jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif ditaksirkan dalam prosiding berasingan, dan Plaintif dikehendaki memfailkan permohonan taksiran ganti rugi dalam tempoh 30 hari.

banner

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM30,000.00 kepada plaintif, tertakluk kepada fi alokatur.

Plaintif diwakili Fahmi Adilah daripada Tetuan Norman Fahmi & Associates, manakala defendan diwakili oleh Nur Farah Aida Mahathir dan Amal Mat Isa daripada Tetuan Nur Maidin & Co.

Keputusan ini menamatkan peringkat liabiliti dalam tindakan tersebut, manakala jumlah ganti rugi akan ditentukan oleh Mahkamah pada peringkat taksiran kelak.

Mohamad Azlan dalam kenyataannya berkata beliau melahirkan rasa syukur di atas kemenangan dan berterima kasih kepada peguam mewakilinya kerana berjaya dalam tuntutan yang difailkan.

“Sekian lama saya menanggung kesan fitnah kononnya saya adalah scammer hartanah, reputasi dan imej saya terjejas. Kemenangan ini sekurang-kurangnya dapat membersihkan kembali nama baik saya yang tercalar,” katanya.

Untuk rekod, Mohamad Azlan sebelum ini telah berjaya memenangi satu kes saman berasingan terhadap individu sama dalam pampasan tuntutan hartanah bernilai RM590,000 di Mahkamah Sesyen Besut, Terengganu. – Suara Timur

Tinggalkan komen