KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menang saman fitnah terhadap
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tuan Mandak, Kuala Nerus, Saik Abdullah Tuan Tengah.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani juga membenarkan penghakiman ingkar di dalam kes saman berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depa. bagi mendengar hujahan pihak plaintif berkenaan jumlah ganti rugi yang dituntut dan perlu dibayar oleh defenden kepada plaintif.
Saman berkenaan difailkan selepas Saik Abdullah, 63, didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah membabitkan dakwaan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan amalan tidak beretika ketika Ahmad Razif memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
Komen berunsur fitnah yang dimuat naik Saik Abdullah di laman Facebook pada 28 Mac lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membenarkan tuntutan tersebut selepas defendan gagal hadir ke mahkamah dan tidak memberi sebarang maklum balas terhadap writ saman yang telah diserahkan.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kenyataan fitnah itu dimuat naik oleh Saik Abdullah pada 28 Mac lalu menerusi media sosial secara jelas menggambarkan dirinya sebagai seorang pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa.
“Saya telah mengarahkan pasukan guaman menghantar Notis Tuntutan Permohonan Maaf secara rasmi kepada Saik Abdullah pada 17 April lalu, namun selepas tempoh tujuh hari, tiada sebarang jawapan atau penarikan balik kenyataan diterima.
“Justeru, saya mengambil keputusan memfailkan saman sivil untuk menuntut ganti rugi terhadap fitnah tersebut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kuala Terengganu, di sini pada Isnin.
Saik Abdullah juga difahamkan mempunyai tauliah mengajar agama di Terengganu dan aktif sebagai penceramah politik daripada Pas.
Ahmad Razif berkata, tindakan undang-undang itu bukan semata-mata untuk mempertahankan nama baiknya, tetapi sebagai satu mesej jelas bahawa fitnah dan tuduhan palsu tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya, terutama di ruang terbuka seperti media sosial.
“Saya harap tindakan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan tanpa asas yang sahih,” katanya.
Ahmad Razif diwakili barisan peguam diketuai Datuk Ahmad Zaidi Zainal bersama Fatini Athirah Baharin. – Suara Timur