Home Mahkamah dan JenayahCubaan beli barang kemas RM30,000 guna wang palsu ‘bundle’ gagal

Cubaan beli barang kemas RM30,000 guna wang palsu ‘bundle’ gagal

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Cubaan seorang lelaki untuk membeli barang kemas dengan menggunakan ‘selonggok’ wang kertas palsu di sebuah kedai emas di Jalan Chabang Tiga di sini, semalam, gagal apabila perbuatannya itu berjaya dikesan oleh jurujual.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata jurujual lelaki berusia 36 tahun itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 6.31 petang.

Berdasarkan laporan diterima, katanya, terdahulu pengadu (jurujual) berada di kaunter jualan kedainya sebelum didatangi seorang lelaki berusia awal 30-an kira-kira jam 3.10 petang.

Beliau berkata, suspek datang sendirian dengan memakai kopiah putih, cermin mata hitam dan pelitup muka berwarna merah jambu.

banner

“Difahamkan, suspek menyatakan hasrat ingin membeli barang kemas dianggarkan bernilai RM30,000.

“Rakan sekerja pengadu kemudian menunjukkan berapa gelang emas kepada suspek, dengan disaksikan oleh pengadu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, suspek dikatakan mengambil gambar barang kemas itu kononnya untuk ditunjukkan kepada isterinya.

Selepas dua kali keluar masuk premis, Azli berkata, suspek menyatakan hasrat untuk membeli barang kemas yang dilihatnya.

“Ketika menguruskan penyediaan resit pembelian, pengadu meminta suspek menyerahkan wang bayaran untuk dikira.

“Pengadu kemudian melihat suspek meletak ‘wang’ yang diikat secara ‘bundle’ dalam sebuah beg plastik berwarna kuning.

“Namun, hasil pemerhatian awal pengadu mendapati wang itu agak pelik kerana cetakan tepinya berwarna putih,” katanya.

Beliau berkata, pengadu kemudian cuba mengambil ‘wang’ itu untuk melihat dengan lebih teliti.

Bagaimanapun, katanya, suspek didakwa bertindak agresif sebelum terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna biru gelap yang diparkir di hadapan kedai itu. Hasil semakan kemudian mendapati nombor pendaftaran kereta itu adalah palsu.

“Setakat ini, rakaman lengkap kamera litar tertutup (CCTV ) masih belum diperoleh.

“Polis akan turut membuat semakan rakaman CCTV di kedai berhampiran bagi membantu siasatan.

“Tiada kerugian direkodkan dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan,” katanya. – Berita Harian

Tinggalkan komen