Home Negeri200 nelayan terjejas muara Sungai Kemasik cetek

200 nelayan terjejas muara Sungai Kemasik cetek

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira 200 nelayan pantai di Kampung Kemasik dekat sini merayu pihak berkenaan agar segera mengambil tindakan menyelesaikan masalah muara Sungai Kemasik yang semakin cetek sejak lebih enam tahun lalu.

Keadaan muara yang mengalami mendapan pasir menyebabkan laluan keluar masuk bot nelayan menjadi sukar, sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka untuk turun ke laut mencari rezeki.

Masalah itu turut memaksa nelayan mengambil masa lebih lama menunggu air pasang sebelum dapat keluar ke laut, sekali gus mengganggu jadual rutin dan menjejaskan pendapatan harian mereka.

banner
SEBAHAGIAN bot nelayan yang terdapat di muara Sungai Kemasik, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Seorang nelayan, Mohd Rafi Yusuf berkata, kebanyakan nelayan biasanya keluar ke laut seawal pukul 2 hingga 3 pagi ketika air masih surut dan air hanya mula pasang sekitar pukul 6 pagi.

Katanya, situasi itu menyukarkan mereka kerana waktu memasang jaring lazimnya adalah sekitar pukul 5.30 hingga 6 pagi.

“Namun, jika sudah mencecah pukul 6 pagi baru dapat turun ke laut, memang tidak sempat untuk memasang jaring,” katanya ketika ditemui Suara Timur.

MIHD RAFI YUSUF

Seorang lagi nelayan, Ayub Endut berkata, masalah muara cetek berkenaan telah lama berlarutan dan memberi kesan besar kepada rutin harian nelayan.

“Keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan kami kerana tidak dapat turun ke laut seperti biasa,” katanya.

AYUB ENDUT

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan projek pemuliharaan muara Sungai Kemasik kepada kerajaan negeri dengan anggaran kos RM800,000.

KEADAAN muara Sungai Kemasik menyukarkan nelayan keluar ke laut untuk menangkap hasil laut. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, cadangan itu melibatkan kerja mengorek muara, memulihkan aliran air serta menstabilkan kawasan berkenaan bagi memastikan laluan bot nelayan kembali lancar.

“Dalam masa sama, pelan jangka panjang turut dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan anggaran kos RM60 juta bagi melaksanakan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan mampan,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen