KEMAMAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail terus mengorak langkah dalam pembangunan sukan ragbi peringkat akar umbi apabila berjaya menganjurkan kejohanan berstatus kebangsaan, HIPERSIS 7s, yang menghimpunkan 32 pasukan dari seluruh negara.
Kejohanan edisi sulung itu menyaksikan penyertaan pasukan dari Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan dengan format tujuh sepasukan bagi kategori bawah 12 tahun, berlangsung selama dua hari di Kolej Universiti TATI (UC TATI) di sini.
Penaung kejohanan, Mohd Nasir Mat Omar berkata, penganjuran HIPERSIS 7s bukan sahaja membuka ruang persaingan sihat, malah menjadi platform penting kepada pasukan yang sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) di peringkat negeri dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Perak, September depan.

“Selama ini, kejohanan khusus bagi peringkat sekolah rendah agak terhad menyebabkan pasukan, khususnya dari Pantai Timur, terpaksa ke negeri lain untuk mendapatkan pendedahan.
“Melalui penganjuran ini, kita dapat menyediakan pentas pertandingan yang kompetitif sekali gus membantu perkembangan bakat muda dalam sukan ragbi,” katanya.

Beliau yang juga Guru Besar SK Sultan Ismail berkata, sambutan memberangsangkan termasuk penyertaan luar Terengganu melebihi jangkaan menjadi petunjuk positif untuk menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan.
Sementara itu, Pengurus Akademi Ragbi Mersing (ARMERS), Muhammad Aliff Haikal Zaidi menyifatkan HIPERSIS 7s sebagai medan terbaik untuk pasukannya yang masih baharu sejak ditubuhkan pada 2023 menguji kemampuan pemain dalam suasana pertandingan sebenar.

Katanya, kategori bawah 12 tahun jarang dipertandingkan dalam kejohanan ragbi di negara ini walaupun banyak bakat muda lahir dari sekolah rendah.
“Kami sanggup datang dari jauh kerana kejohanan seperti ini amat penting untuk memberi pendedahan awal kepada pemain muda,” katanya.
Selain kategori lelaki bawah 12 tahun, kejohanan itu turut mempertandingkan kategori wanita dengan penyertaan 10 pasukan, menjadikan keseluruhan 32 pasukan bersaing merebut kejuaraan dalam suasana penuh kompetitif di Kemaman. – Suara Timur
