Oleh MULHATAR A RAHMAN
KEMAMAN – Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dengan kerjasama Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Daerah Kemaman akan menganjurkan program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 bertempat di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong dekat sini pada 3 Oktober hadapan.
Pengerusi PPKK Daerah Kemaman, Abdul Hadi Muhammad berkata, majlis tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam), Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman.
“Program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini merupakan mini konvensyen yang pertama di negeri Terengganu pada tahun ini yang menggabungkan semua Sembilan PPKK dalam daerah Kemaman.
Ujar Abdul Hadi, pertandingan diadakan dalam tiga kategori iaitu Oral (4 PPKK), Poster (5 PPKK) dan Booth (9 PPKK).
“Program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini tidak hanya merupakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga merupakan medan kemuafakatan antara sukarelawan PPKK dengan anggota kesihatan. Selain itu juga memupuk dan menyemarakkan semangat sukarelawan untuk meningkatkan lagi usahasama dalam meningkatkan mutu kesihatan masyarakat.
Menurutnya, Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini adalah platform bagi semua ahli PPKK untuk bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan memperkaya pengalaman melalui persembahan projek masing-masing.
Abdul Hadi juga berharap, Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini akan terus mengeratkan silaturrahim di kalangan kakitangan kesihatan dengan ahli PPKK Daerah Kemaman. – Suara Timur
