Negara Politik

Kebergantungan dagang dengan AS mesti dikurangkan

KUALA TERENGGANU: Malaysia perlu segera meneroka pasaran dagangan baharu sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat (AS), susulan peningkatan tarif import yang memberi tekanan besar kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, pergantungan berlebihan terhadap AS yang menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia mendedahkan negara kepada risiko seperti sedang berlaku.

“Kadar tarif yang dikenakan oleh AS ke atas produk Malaysia kini mencecah 24 peratus, jauh lebih tinggi berbanding Filipina (17 peratus) dan Singapura (10 peratus). Situasi ini serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Ekonomi kita menjadi tidak menentu apabila tarif dikenakan terlalu tinggi. Ini satu bentuk tekanan yang memerlukan tindakan balas yang proaktif dari kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu perdagangan antarabangsa susulan Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas, di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau turut mempersoalkan status rundingan perdagangan baharu yang sebelum ini diumumkan kerajaan.

“Sejauh mana inisiatif rundingan perdagangan baharu telah digerakkan serta negara-negara mana yang telah terlibat setakat ini? Ini penting kerana sektor-sektor utama seperti elektrik dan elektronik, getah, minyak sawit dan bahan kimia kini berdepan tekanan yang nyata,” tegasnya.

Tambahnya, sektor semikonduktor juga berisiko tinggi untuk menjadi mangsa seterusnya dalam senarai tarif AS, sedangkan ia menyumbang hampir 20 peratus kepada keseluruhan eksport E&E negara.

“Kita tak boleh tunggu sehingga semuanya dikenakan tarif. ‘Prevention is better than cure’. Kita perlu bersedia dari sekarang dan cari rakan dagangan strategik yang baharu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Che Mohamad turut menyentuh isu ketidaktentuan dasar ekonomi domestik seperti peluasan SST, kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan subsidi bersasar, yang menurutnya menambah beban rakyat.

“Pelaksanaan subsidi bersasar yang dijangka bermula pertengahan tahun ini turut menambah kebimbangan rakyat terhadap beban kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan menilai semula dasar import dan meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam negara supaya sebarang perubahan dasar perdagangan luar tidak menyebabkan gangguan bekalan atau lonjakan harga.

“Kalau tarif kita terlalu tinggi, mereka tidak akan beli. Kita juga terlalu banyak bergantung kepada import.

“Bila kita kurangkan import tanpa cukup pengeluaran dalam negara, pertanian, perkilangan kita akan hadapi masalah besar. Ini perlu diberi perhatian segera,” ujarnya. – Harakahdaily

Related Posts