Negara Negeri

Tupai king makin popular

GEORGETOWN: Durian jenis tupai king yang ‘dilahirkan’ di Pulau Pinang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat raja buah itu selepas ia digelar durian bangsawan kerana kualiti premium, rasa luar biasa dan aroma yang unik.

Malah, harganya meningkat sehingga RM130 sekilogram, sekali gus menjadikannya durian tempatan termahal ketika ini mengatasi jenis durian terkenal lain seperti musang king dan duri hitam atau black thorn.

Pengusaha kebun durian Eric Yeap berkata, durian tupai king dengan kulit berwarna hijau keperangan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk bujur seperti telur dengan pangkal membulat dan hujung menajam.

“Durian tupai king sudah ada sejak lima atau enam tahun lalu, namun mula dikenali dan dicari peminat raja buah sejak dua tahun ini kerana isinya berwarna jingga kekuningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana.

“Bukan sahaja menarik minat penggemar tempatan, tetapi pembeli dari luar negara seperti Singapura dan China. Apabila mereka tahu musim durian sudah bermula, ada yang menghubungi saya bertanya mengenai durian tupai king,” katanya.

Yeap bagaimanapun berkata, pengeluaran bagi durian tupai king masih rendah berikutan kebanyakan pengusaha raja buah itu baru menanamnya termasuk beliau sendiri yang bermula sejak lima tahun lepas, dan memperoleh hasil tiga tahun kemudian. – Harian Metro

Related Posts