Negeri

Anwar sindir pembangkang senyap isu kenaikan tarif air empat negeri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir sesetengah pihak berdiam diri apabila empat kerajaan negeri yang ditadbir oleh pembangkang menaikkan kadar tarif air masing-masing.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai halangan untuk kerajaan negeri menaikkan kadar tarif air berkenaan disebabkan ada keperluan berbuat sedemikian.

“(Kerajaan negeri) tulis kepada menteri minta persetujuan (naikkan kadar tarif air). Kita tidak mahu melarang, tak mahu menyuruh, tak ada halangan lah.

“Ini keputusan negeri, air bidang kuasa negeri. Keempat-empat negeri naik, ada negeri lain juga naik. Tetapi oleh kerana air itu dinaikkan oleh kerajaan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dia tak jadi isu.

“Cuba katalah naik Kerajaan Persekutuan, setengah mati kita kena pukul. Yang nyata apa? Saya sebagai yang bertanggungjawab katakan ya, saya tidak ada halangan naik sebab ada keperluan,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkait hutang negara.

Mengulas lanjut, Anwar juga mempersoalkan mengapa adanya pilih kasih pihak berkenaan mengambil contoh isu penyasaran subsidi RON95 dan tarif bil elektrik yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sama juga penyasaran subsidi (RON 95), tapi mengapa double standard (pilih kasih)? Penyasaran subsidi untuk orang asing kita naikkan, untuk rakyat kita turunkan.

“Bil elektrik untuk orang kaya kita naikkan, untuk rakyat kita turunkan. Mengapa diserang? Padahal air untuk semua orang termasuk rakyat dinaikkan.

“Melainkan di Selangor. Di Selangor saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri kerana kadar air naik, tetapi tidak untuk (golongan) B40,” katanya. – Harian Metro

Related Posts