TEMERLOH: Kegiatan curi kabel projek Laluan Rel (ECRL) yang menyebabkan kerugian hampir RM1 juta akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menumpaskan Geng Jep Gambang dan Geng Musang dengan menahan lapan suspek dalam beberapa siri serbuan baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tangkapan itu hasil operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang antara 1 hingga 13 September lalu selepas enam laporan kes kecurian kabel direkodkan sejak Ogos lalu.
“Lapan suspek terdiri daripada lelaki berusia antara 29 hingga 45 tahun dengan enam daripadanya suspek utama manakala dua lagi bertindak sebagai pembeli kabel curi.
“Dalam operasi itu polis turut merampas dua buah lori, sebuah kereta jenis Proton Wira, kabel tembaga lebih 1,000 kilogram, mesin pemotong kabel, ‘grinder’ dan ‘bolt cutter’ dengan nilai sitaan lebih RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Lanchang di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati Geng Musang terdiri daripada tujuh suspek yang ditahan serta tiga lagi masih bebas.
Jelasnya geng tersebut dipercayai diketuai seorang warga Kemboja yang masih dalam buruan dan kumpulan ini terbabit dalam satu kes di Bentong serta tiga kes di Temerloh.
Beliau memberitahu Geng Jep Gambang pula melibatkan dua suspek termasuk seorang suspek yang ditahan serta seorang lagi masih bebas dengan kes terlibat di Kuantan.
Sementara itu Yahaya memberitahu, berdasarkan siasatan suspek mencuri kabel tembaga sepanjang kira-kira empat kilometer daripada keseluruhan jajaran 258 kilometer ECRL dari Cherating, Kuantan ke Bentong yang membabitkan tujuh stesen utama. – Kosmo