KEMAMAN: Penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor, Kemaman, Terengganu mengambil inisiatif menyambut Hari Kebangsaan 2026 tahun ini dengan menghiasi kawasan kediaman mereka dengan Jalur Gemilang.
Menurut penduduk, inisiatif itu dilakukan bukan hanya untuk mencantikkan kawasan rumah malah turut menyemai semangat patriotisma dan cinta negara dalam kalangan generasi muda sempena sambutan hari kebangsaan tahun ini dengan tema “Malaysia MADANI : Kesejahteraan Dinikmati”.
Penduduk turut menzahirkan kreativiti mereka dengan membina beberapa buah replika dengan hiasan Jalur Gemilang secara gotong-royong dengan penuh semangat kemerdekaan.

Seorang penduduk Rohaida Jusoh, berkata mereka bekerjasama mengambil inisiatif membina beberapa buah replika dengan dihiasi bendera Jalur Gemilang mengikut zon kediaman penduduk Felda.
Kata, dengan usaha demikian penduduk dapat merealisasikan kreativiti dan semangat jati diri masing-masing secara bergotong-royong membina replika sejak sebulan lalu dan menghiasi kediaman.
“Namun, semangat yang ada dalam kalangan kami tidak pernah pudar. Kami sentiasa menyambut dan menghayati semangat itu, malah apa sahaja yang disampaikan oleh pengurus dan pihak atasan, kami terima serta laksanakan dengan sebaiknya.

“Bagi kami, kemerdekaan merupakan sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana ia bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut membawa makna semangat, pengorbanan dan perpaduan yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Seorang lagi penduduk generasi kedua, Rohani Omar, berkata, idea untuk menghiaskan kawasan kediaman itu hasil cetusan pengurusan Felda dengan kerjasama penduduk yang sentiasa meluangkan masa bergotong-royong bagi menjayakan sambutan kemerdekaan kali ke 69 itu.
“Lama juga, dalam sebulan adalah beberapa kali. Di sini kita ada zon, dan Zon Empat ini mempunyai kira-kira 30 orang.
“Jadi, kami akan berpakat untuk melakukan aktiviti secara bersama-sama, termasuk gotong-royong. Apabila ada waktu lapang, biasanya seminggu sekali, kami akan keluar
untuk menjalankan aktiviti gotong-royong dan membersihkan kawasan sekitar,” ujanya.
Menurut Rohani, terdapat empat zon kediaman penduduk di Felda berkenaan dan setiap zon akan membina replika dengan dihiasi Jalur Gemilang mengikut kreativiti masing-masing dan ianya akan dinilai pihak pengurusan Felda pada hujung September ini bagi menentukan pemenang.
Sementara itu, Pengurus Felda Seberang Tayor, Mohamad Syafiq Hilmi Ahmad Zahid, berkata inisiatif tersebut dilakukan secara sukarela oleh penduduk berkenaan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan ianya sekaligus membuktikan semangat patriotisma yang tinggi.
“Semangat berkenaan bukan sahaja dapat dilihat menerusi penglibatan penduduk dalam aktiviti menghias kawasan, malah turut diterjemahkan melalui kerjasama dan semangat gotong-royong yang diamalkan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.
– Suara Timur
