Home NegeriPenduduk bimbang harimau belang, gajah berkeliaran sekitar kampung

Penduduk bimbang harimau belang, gajah berkeliaran sekitar kampung

oleh suara timur

GUA MUSANG: Kemunculan harimau belang dan gajah liar yang berkeliaran di penempatan Orang Asli Kampung Tandrik, Pos Bihai membimbangkan penduduk di kawasan itu.

Mereka mendakwa kemunculan haiwan liar itu tidak hanya di kawasan hutan dan kebun penduduk, tetapi kini sekumpulan gajah liar turut berkeliaran di kawasan kampung.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira jam 3 pagi semalam, penduduk terpaksa berjaga malam apabila mendapati tiga ekor gajah liar berkeliaran di kawasan kampung.

Selain itu baru-baru ini, penduduk juga dikejutkan dengan bunyi ngauman harimau berhampiran rumah penduduk.

banner

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata dalam kejadian terbaharu semalam, sekumpulan tiga ekor gajah liar berkeliaran di kawasan kampung terbabit.

Katanya, penduduk terpaksa berjaga sehingga jam 3 pagi kerana bimbang haiwan liar itu menyerang rumah penduduk.

“Kejadian gajah liar masuk ke kawasan kampung ini bukan kali pertama, sejak setahun lalu sudah beberapa kali gajah liar ini masuk kampung dan merosakkan tanaman penduduk di sekitar rumah.

“Kami terpaksa berjaga malam kerana bimbang gajah liar ini akan menyerang rumah penduduk dan mengancam keselamatan kami,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, menurut Apek, penduduk juga kini hidup dalam kebimbangan apabila kerap kali terdengar ngauman harimau berhampiran rumah penduduk sehingga ada yang takut untuk keluar rumah.

Katanya, suara ngauman harimau itu jelas dapat didengari oleh penduduk di kampung terbabit.

“Terdapat kesan tapak kaki harimau dan tempat itu dekat dengan rumah penduduk kampung.

“Kami pun sekarang bimbang kejadian kemunculan harimau kampung ini berulang kembali seperti dua tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada kami penduduk di sini.

“Sehingga menyebabkan ramai penduduk takut untuk keluar rumah dan mencari hasil hutan,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen