Home NegeriGerai jual mercun, bunga api terbakar

Gerai jual mercun, bunga api terbakar

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah gerai dan stor penyimpanan mercun dan bunga api musnah dalam satu kebakaran di Kampung Gong Limau, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan berlaku letupan mercun dan percikan bunga api yang agak kuat selama kira-kira 30 minit dan mengganggu penduduk berdekatan yang sedang tidur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Hanif Che Khalid ketika dihubungi berkata, kebakaran melibatkan sebuah kabin yang dijadikan tempat simpanan pelbagai jenis mercun dan bunga api.

banner

Mohd Hanif berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu jam 3.43 minit pagi.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Kemaman dengan kekuatan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, rantaian letupan mercun yang tidak terkawal menyebabkan penduduk setempat panik kerana lokasi kejadian berhampiran dengan kediaman penduduk.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 4.39 minit pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pukul  5.10 minit pagi,” ujarnya.

Menurut Mohd Hanif, tiada sebarang kecederaan berlaku dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian dialami.

Sementara itu, pembantu gerai jualan mercun berkenaan Muhammad Ashraf Mohd Zulkiflie, 19, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai tidak jauh dari lokasi kerana sedang membeli juadah sahur.

Menurut Muhammad Ashraf, dia terkejut selepas menerima panggilan daripada seorang rakan memaklumkan gerai dan stor mercun itu terbakar dan terus bergegas ke lokasi.

“Pukul 3.40 pagi, saya keluar nak pegi cari makanan untuk sahur, lepas tu tengah bungkus makanan dapat satu call yang kata kedai terbakar. Lepas itu saya bergegas pulang melihat gerai mercun,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen