Home NasionalTempuhi perjalanan 400KM demi persiapan pertandingan STEM

Tempuhi perjalanan 400KM demi persiapan pertandingan STEM

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Dalam usaha memantapkan persiapan menghadapi pertandingan STEM peringkat kebangsaan, 37 murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani mengambil kesempatan mengunjungi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) untuk mendapatkan pengalaman pembelajaran secara amali.

Rombongan bersama tujuh guru pengiring itu menjadikan PSKT antara destinasi sepanjang program tiga hari dua malam mereka di Kuala Terengganu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Sungai Petani dan membuat persiapan akhir menghadapi Walnut EduTech Championship (WEC) 2026 di Petaling Jaya, Selangor pada 26 September ini.

SEKOLAH Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani dari Kedah mengambil peluang untuk menerokai sendiri pengalaman aktiviti pendidikan STEM di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu(PSKT), Kuala Terengganu ini.

Guru sekolah berkenaan, Sheikh Mohd Faisol Sheikh Fauzi berkata, kunjungan itu memberi ruang kepada murid untuk melihat sendiri bagaimana konsep STEM boleh diterokai melalui aktiviti yang lebih praktikal.

Katanya, kaedah pembelajaran sedemikian lebih mudah menarik perhatian murid kerana mereka berpeluang mencuba sendiri, selain memperoleh pemahaman yang lebih jelas berbanding pembelajaran berasaskan teori semata-mata.

banner

“PSKT memberi pendekatan yang agak berbeza dengan pusat sains lain termasuk di Alor Setar. Di sini, murid dapat melakukan sendiri aktiviti yang disediakan dan pengalaman itu memberi gambaran lebih jelas kepada mereka.

SHEIKH Mohd Faisol Sheikh Fauzi(tengah) yang juga merupakan seorang guru mata pelajaran bahasa Cina di  Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani bersama murid sekolah itu dalam rombongan ke Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu(PSKT), Kuala Terengganu.

“Ia secara tidak langsung membantu persiapan mereka untuk pertandingan STEM peringkat kebangsaan minggu depan,” katanya.
Menurutnya, perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Terengganu yang melebihi 400 kilometer tidak menjadi halangan apabila kunjungan itu turut disusun sebagai sebahagian daripada pengisian program rombongan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, kunjungan rombongan sekolah dari Kedah ketika sesi persekolahan berlangsung menunjukkan minat terhadap pembelajaran STEM tidak hanya tertumpu kepada musim cuti sekolah.

“Biasanya kunjungan dari luar Terengganu lebih banyak ketika cuti sekolah. Kali ini mereka datang dalam tempoh persekolahan dan sanggup datang dari Sungai Petani untuk mendapatkan pengalaman di sini.

“Yang lebih penting ialah kesungguhan murid dan guru untuk mencari pendedahan tambahan sebelum menghadapi pertandingan,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen