Mahkamah dan Jenayah

Pemandu tular bakar lori didenda RM3,500 kerana halang tugas penjawat awam

KUALA TERENGGANU: Pemilik lori yang sebelum ini tular membakar kenderaan miliknya bagi mengelak disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh, Mohamad Aimullah Che Ambok, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga pegawai JPJ daripada menjalankan tugas di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Jalan Tepoh pada jam 1.30 tengah hari, 22 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, Mohamad Aimullah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Sebelum ini pada 22 Oktober lalu, media melaporkan tindakan pemilik sebuah lori membakar kenderaan miliknya selepas dikenakan tindakan sita oleh JPJ di lokasi kejadian. – Metro

Related Posts