Home NegeriGPS perluas manfaat sukan 4X4 kepada komuniti setempat

GPS perluas manfaat sukan 4X4 kepada komuniti setempat

oleh suara timur

KUALA NERUS: Sokongan Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bukan sahaja membantu Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) meneruskan penganjuran Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026, malah membolehkan program berkenaan memberi manfaat lebih luas kepada komuniti setempat.

Presidennya, Muhammad Muzzammil Mokhetar, berkata sokongan berkenaan penting bagi memastikan penganjuran sukan permotoran di peringkat akar umbi dapat terus dilaksanakan secara lebih tersusun, khususnya apabila kos pengurusan acara semakin meningkat setiap tahun.

“ Kos penganjuran saban tahun kian meningkat sama ada terkesan oleh kerana faktor ekonomi semasa mahupun keperluan berkaitan dengan penganjuran yang sememangnya kita tidak dapat untuk dielakkan seperti pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik dan lain-lain yang hadir dengan harganya tersendiri. Begitu juga dengan sebarang risiko melibatkan wang ringgit yang ditanggung oleh kami selepas tamat perlumbaan.

SOKONGAN Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lebih banyak ruang kepada pelumba tempatan untuk menyertai sukan permotoran 4×4, sekali gus merancakkan perkembangan sukan itu di peringkat akar umbi.

“Ramai beranggapan menjadi penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti ini seolah-olah kami mudah menjana keuntungan apatah lagi menerima sokongan dana atau penajaan dari kerajaan, realiti sebaliknya,” katanya.

Menurut Muhammad Muzzammil, UT 4×4 memilih untuk terus memikul tanggungjawab sebagai penganjur berikutan kekurangan perlumbaan 4×4 di Pantai Timur, selain mengambil kira kemampuan sebahagian pelumba untuk menyertai pertandingan di luar negeri.

“Kami pikul tanggungjawab selaku penganjur kerana ketandusan perlumbaan di negeri Pantai Timur ini, di mana ramai dalam kalangan pelumba tidak berkemampuanuntuk berlumba di negeri lain,” ujarnya.

SELAIN perlumbaan, penganjuran Terengganu 4×4 Merdeka Challenge turut mengetengahkan pertandingan mewarna sebagai aktiviti sampingan bagi menggalakkan penyertaan komuniti setempat sepanjang acara dua hari di Bandar Baru Kuala Nerus.

Jelasnya, dana GPS yang diterima hanya menampung kira-kira separuh daripada keseluruhan kos penganjuran, manakala baki perbelanjaan ditampung menerusi sumbangan kewangan dan sokongan perkhidmatan daripada agensi kerajaan tempatan, penaja kecil serta individu yang mempunyai minat terhadap sukan permotoran.

Katanya, sokongan pelbagai pihak turut membolehkan UT 4×4 mengisi penganjuran dengan aktiviti sampingan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk turut terlibat, termasuk pertandingan mewarna, ruang pameran serta penyampaian maklumat oleh agensi berkaitan.

Selain memberi pentas kepada pelumba, katanya, pendekatan itu menjadikan penganjuran Terengganu 4X4 Merdeka Challenge lebih dekat dengan komuniti dan tidak terhad kepada aktiviti perlumbaan semata-mata.

Dalam pada itu, Muhammad Muzzammil berkata penyediaan dokumentasi lengkap termasuk laporan penganjuran dan perincian perbelanjaan secara telus turut membantu UT 4×4 mengekalkan kepercayaan KBS untuk menerima sokongan GPS bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari bermula 5 September lalu dengan penyertaan 56 pelumba dari seluruh negara, membabitkan tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).

Acara tahunan itu dianjurkan UT 4×4 dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal, selain mendapat sokongan KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu. – Suara Timur

Tinggalkan komen