Negara

Warga Malaysia rompak emas di Thailand, ada rekod bunuh

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang ditahan dalam rompakan kedai emas di Bangkok, Thailand, Selasa lalu mempunyai 10 rekod jenayah lampau di negara ini.

Lelaki berusia 62 tahun berasal dari Kulim, Kedah itu turut mempunyai dua rekod dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kes bunuh dan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, semakan terhadap kertas siasatan membabitkan jenayah dilakukannya di negara ini sedang dibuat sebelum proses ektradisi.

Menurutnya, pada peringkat ini, PDRM menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand terlebih dahulu untuk mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan yang dilakukannya di negara itu.

Anak tak datang melawat, ibu sebut nama hingga hujung nyawa.

“Kita (polis) telah dimaklumkan mengenai penahanan suspek sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok atas kesalahan samun bersenjata di Hatyai.

“Suspek kini masih berada di lokap Hatyai untuk siasatan lanjut sementara kita meneliti lanjut kesalahan dilakukannya di negara ini bagi tindakan ektradisi,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, lelaki berkenaan juga tidak lagi tinggal di negara ini dan dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di negara terbabit.

“Semasa tangkapan terhadapnya dilakukan dia dikesan memiliki kad pengenalan Thailand yang palsu selain tiada MyKad atau pasport Malaysia ditemukan bersamanya,” katanya.

Pada 9 April lalu, Polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas di daerah Nonthaburi, Bangkok, Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas Hat Yai.

Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Kolonel Polis Anusorn Thongsai dilaporkan berkata, suspek dipercayai rakyat Malaysia disyaki merompak sebuah kedai emas sebelum melarikan diri ke Bangkok, ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai menuju ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Beliau dilaporkan berkata, suspek cuba menyamar menggunakan pelbagai identiti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa berada di Thailand.

Siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari Hat Yai ke stesen bas Mochit di Bangkok sebelum cuba menaiki teksi ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Anggota polis Thailand berjaya menahan suspek kira-kira 6.30 petang waktu tempatan, bersama barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup.

Suspek juga bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal untuk merompak sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai pada 11.50 pagi sehari sebelum dia ditahan.

Suspek menggunakan pistol untuk melarikan emas bernilai kira-kira 9 juta Baht (RM1.17 juta).

Berikutan kejadian itu, polis Thailand mengeluarkan waran tangkap dan memperketat kawalan di semua pintu keluar sempadan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri. – Metro

Related Posts