Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pengurus syarikat swasta kerugian sebanyak RM102,010 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan tawaran sebagai vendor kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, mangsa lelaki berusia 32 tahun itu mendakwa menerima satu pesanan melalui e-mel pada 4 Disember lalu yang menawarkan peluang menjadi vendor bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan syarikat utiliti berkenaan.
Menurutnya, tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah mengemukakan permohonan melalui alamat e-mel yang diberikan sebelum diminta membuat beberapa bayaran kononnya bagi tujuan proses pendaftaran dan deposit.
“Mangsa mendakwa telah melakukan dua transaksi ke satu akaun bank berbeza dalam tempoh 16 hingga 22 Disember 2025 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM102,010.
“Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga apabila suspek terus meminta bayaran tambahan bagi melengkapkan urusan yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Razi berkata, menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada 18 April lalu.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran perniagaan yang mencurigakan serta membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – Suara Timur
