Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita sebanyak 30 kenderaan mewah melalui ‘Ops Luxury’ di seluruh negeri itu bermula Januari hingga Mei tahun ini.
Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, antara kesalahan utama yang dikesan ialah kegagalan pemilik memperbaharui perlindungan insurans yang sah dan lesen kenderaan motor atau cukai jalan.
Beliau berkata, sepanjang ops tersebut, pihaknya telah memeriksa sebanyak 130 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk milik syarikat dan individu yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

“Pemilik kenderaan mewah terbabit tidak kebal dengan undang-undang ditetapkan kerana jika berlaku kemalangan mereka akan menyusahkan diri sendiri dan pengguna lain,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Luxury peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.
Mohd Zamri berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 48 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada cukai jalan atau tamat tempoh sementara itu 46 saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada pelindungan insurans.
Menurut Mohd Zamri, kesalahan lain yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap, ubah suai kenderaan, lesen memandu tamat tempoh dan kesalahan teknikal lain.

“Ops berkenaan dilaksanakan sebagai satu tindakan penguatkuasaan khas yang berfokuskan kepada pemilik kenderaan mewah yang sengaja lari daripada peraturan undang-undang,” ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang ops tersebut juga JPJ akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi strategik termasuk di pusat bandar, kawasan tumpuan elit, lebuh raya utama dan lokasi-lokasi hiburan.
Mohd Zamri menyeru semua pemilik kenderaan memastikan semua dokumen kenedraan sentioasa sah dan mematuhi spesifikasi ditetapkan demi keselamatan mereka dan pengguna lain. – Suara Timur
