Negeri

Doktor maut kereta terbabas selepas pulang main futsal

KUALA TERENGGANU – Seorang doktor maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar stor penyimpanan gas di Jalan Kampung Undang di sini pada Selasa.

Mangsa, Muhammad Hariz Hashim, 35, yang juga doktor di sebuah klinik kesihatan, disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 11.33 malam, hari sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian jam 1 pagi pada Rabu.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa memandu kenderaan jenis Perodua Alza dari arah gelanggang futsal Kampung Undang menuju ke rumahnya di Bukit Bayas, di sini.

“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kanan dan merempuh stor penyimpanan gas di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke HSNZ oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas sendiri di Jalan Seberang Takir, Kuala Nerus pada Selasa.

Mangsa, Ammar Shakireel Nazhan Rosli, 18, disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan HSNZ selepas mengalami kecederaan parah akibat insiden itu.

Azli berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke rumahnya di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum dikejarkan ke HSNZ.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.09 malam di wad kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar Harian

Related Posts