Home NegeriPPKK, Klinik Kesihatan Batu 2 ½ semarak Bulan Kebangsaan melalui program kemasyarakatan

PPKK, Klinik Kesihatan Batu 2 ½ semarak Bulan Kebangsaan melalui program kemasyarakatan

oleh suara timur

KEMAMAN: Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) bersama warga Klinik Kesihatan Batu 2 ½ terus memperkukuh semangat patriotisme dan kesedaran kesihatan dalam komuniti menerusi penganjuran Program Sesi Ramah Mesra PPKK dan Sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung meriah di klinik berkenaan hari ini.

Pengerusi PPKK Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata program bertemakan “Semarak Merdeka, Kibarkan Jalur Gemilang, Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati” itu merupakan program kelima yang dianjurkan hasil kerjasama PPKK dan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ bagi tahun ini.

Beliau berkata pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program, antaranya majlis berbuka puasa, gotong-royong membersihkan kawasan klinik, memasak bubur asyura, pengedaran risalah mengenai bahaya denggi, khidmat nasihat pencegahan denggi dalam komuniti serta aktiviti sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

PENGERUSI  Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar (tengah). – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Sambutan Bulan Kebangsaan diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan klinik dan ahli PPKK. Tahun ini merupakan penganjuran kali kelima berturut-turut,” katanya ketika ditemui Suara Timur hari ini.

banner

Menurut beliau, program itu mendapat sokongan penuh Pakar Perubatan Keluarga merangkap Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Dr Nini Shuhaida Mat Harun serta seluruh warga kerja klinik.

Katanya, bagi memeriahkan sambutan, peserta bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di sepanjang laluan masuk klinik sebelum mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra ke semua unit di klinik.

PENGERUSI Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar memasang Jalur Gemilang meja di kaunter masuk Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“PPKK turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada ketua Unit MCH, UPL, NCD, Makmal, X-Ray, TB, Farmasi dan Klinik Pergigian sebagai simbolik menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan warga kesihatan,” katanya.

Wan Norsuriya berkata PPKK bukan sahaja aktif melaksanakan program bersama Klinik Kesihatan Batu 2 ½, malah turut menyertai pelbagai program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman termasuk sesi dialog bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam) pada Julai lalu.

Beliau berkata PPKK bersama Klinik Kesihatan Batu 2 ½ akan terus merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dari semasa ke semasa, termasuk Program Kawalan Denggi di Kawasan Perumahan yang dijadual berlangsung di Taman Mawar, Kampung Tempurung pada Sabtu ini. – Suara Timur

Tinggalkan komen