Mahkamah dan Jenayah

Jumlah kerugian jenayah komersial cecah RM3.1 bilion tahun lalu

KUALA TERENGGANU: Jumlah kerugian melibatkan jenayah komersial di seluruh negara pada tahun lalu mencecah RM3.1 bilion pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian tersebut meliputi 41,701 kertas siasatan yang dibuka dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, jumlah kerugian dalam jenayah tersebut  yang direkod pada 2023 adalah RM2.1 bilion dengan jumlah kes 40,340 dan 2022 pula RM1.7 bilion meliputi 30,536 kes.

“Ini adalah satu peningkatan jumlah kerugian sangat besar dan kebanyakan adalah dalam pelaburan tidak wujud yang merekodkan  jumlah kerugian hampir RM850 juta pada tahun lepas,” katanya.

“Tahun ini saja, setakat ini sudah lebih RM123 juta kerugian dicatatkan melibatkan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

“Salah satu kes penipuan mata wang kripto tidak wujud melibatkan mangsa yang merupakan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor yang kerugian puluhan juta ringgit,” katanya kepada pemberita selepas mersamikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Ramli memberitahu, sebanyak 4,353 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM191.29 juta telah dilaporkan dalam tempoh 10 minggu pertama tahun ini.

Beliau berkata, pelaburan tidak wujud paling tinggi dengan kerugian RM123. 64 juta diikuti penipuan telefon (RM48.17 juta) dan e-dagang (RM6.05 juta), e-kewangan (RM4.92 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM3.64 juta).

“Kes penipuan dalam talian telah menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan 25,479 kes dilaporkan pada 2022, 34,495 kes (2023) dan 35,368 kes (2024).

“Apapun kita sangat proaktif membanteras jenayah ini dengan penangkapan 23,000 individu disyaki anggota sindiket penipuan terbabit di seluruh negara pada tahun lalu,” katanya. – Utusan

Related Posts