Home Mahkamah dan JenayahAbang kandung didakwa rogol, amang seksual fizikal adik

Abang kandung didakwa rogol, amang seksual fizikal adik

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kedai perkakasan berdepan hukuman penjara dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melibatkan kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik kandungnya.

​Lelaki berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

​Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol adik kandungnya yang berusia 16 tahun dimana hubungan antara mereka adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

​Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kira-kira jam 11 malam di Kampung Titian Baru, di sini pada Januari lalu.

banner

​Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

​Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu abang kandung, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan tersebut.

​Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan cara meletakkan kemaluannya pada kemaluan kanak-kanak perempuan berkenaan kira-kira jam 9 malam di lokasi sama pada 21 Jun lalu.

​Pertuduhan ke atasnya dikemukakan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

​Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 14(d) akta berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

​Bagi Seksyen 16(1) pula, ia memperuntukkan hukuman tambahan ke atas mana-mana individu berstatus hubungan amanah dengan penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada dua sebatan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas pihak pendakwaan memohon supaya tiada jaminan diberikan berikutan hubungan tertuduh dan mangsa sebagai adik-beradik serta bagi memastikan keselamatan mangsa daripada sebarang gangguan.

Sebutan semula kes tersebut ditetapkan pada 2 Ogos depan.

​Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asymawi Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – Sinar

Tinggalkan komen