Home Mahkamah dan JenayahBayi disembunyikan dalam loker asrama, mekanik direman bantu siasatan

Bayi disembunyikan dalam loker asrama, mekanik direman bantu siasatan

oleh suara timur

DUNGUN: Seorang mekanik direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan yang dipercayai menyembunyikan kelahiran bayi lelaki di sebuah asrama institusi pendidikan pada 9 September lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 24 tahun itu dikeluarkan Majistret Ng Yan Ni di Mahkamah Majistret Dungun, hari ini, selepas membenarkan permohonan polis bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, suspek dari Kampung Duyong Kecil, Kuala Terengganu, yang dipercayai teman lelaki pelajar berkenaan, ditahan di Jalan Pantai Teluk Lipat kira-kira jam 3 petang semalam.

Menurutnya, pelajar perempuan berusia 19 tahun itu turut ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira jam 6 petang semalam, namun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

banner

“Siasatan awal mendapati pelajar itu melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas asrama perempuan institusi pendidikan berkenaan kira-kira jam 5 petang pada hari kejadian tanpa mengetahui dirinya mengandung,” katanya.

Beliau berkata, selepas melahirkan bayi berkenaan, pelajar itu dipercayai menyimpannya di dalam loker miliknya tanpa pengetahuan rakan sebilik.

Katanya, pelajar terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada teman lelakinya bagi mendapatkan bantuan untuk mengambil dan mengebumikan bayi berkenaan secara senyap.

“Pelajar itu kemudian menghubungi pihak masjid berdekatan untuk mendapatkan bantuan bagi urusan pengebumian bayinya, namun pihak masjid memaklumkan perkara itu kepada pengurusan institusi pendidikan berkenaan,” katanya.

Nik Ab Halim berkata, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan kes. – TV3

Tinggalkan komen