KOTA BHARU: Polis Kelantan memburu seorang wanita berusia 30-an yang dikatakan pemilik kepada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah di Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan individu terbabit turut memiliki dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan sehingga memudahnya untuk meloloskan diri.
“Bagaimanapun suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala suaminya merupakan warganegara Thailand.
“Kami mengesan wanita ini berdasarkan semakan yang dibuat ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut,” katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Media pada 16 Ogos lalu melaporkan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan sejak dua hari lalu.
Operasi khas itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi sekitar Sungai Golok membabitkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, Polis Wilayah 9 dan Pusat Operasi Khas Wilayah Sempadan Selatan.
Beberapa suspek berjaya ditahan, manakala selebihnya melarikan diri dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan. – Sinar Harian