Mahkamah dan Jenayah Negara

Nahas trak FRU imbau tragedi Karak 35 tahun lalu

KUALA LUMPUR: Kemalangan maut yang mengorbankan lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan hari ini, seakan mengulangi duka lebih tiga dekad lalu.

Pada 28 Februari 1990, sepasukan anggota FRU dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dalam perjalanan menjalani latihan masa di Kuala Terengganu, terbabit dalam nahas di Kilometer (KM) 31, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.

Nahas membabitkan 12 kenderaan yang mengorbankan 11 anggota FRU dari Trup 4B.

Kemalangan berlaku ketika anggota FRU terbabit berada dalam trak paling hadapan bersama empat kenderaan FRU lain sebelum dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

Insiden turut mengorbankan empat orang awam.

Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada masalah brek bas terbabit, menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan merempuh dua kereta lalu bertembung dengan trak FRU berkenaan.

Pertembungan menyebabkan trak berkenaan terperosok ke bawah bas, sebelum bahagian badannya dihentam sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak perlanggaran terbabit.

Dalam kejadian itu, lima anggota FRU meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur ketika mendapatkan rawatan akibat cedera parah.

Mereka yang terkorban adalah Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim, Lans Koperal Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd Lazim Admin, Konstabel Abd Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd Razali Bidin, Konstabel Mohd Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong. – Berita Harian

Related Posts