KUALA LUMPUR: Pelarian etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak tergolong sebagai Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan, pemegang kad UNHCR mempunyai ‘imuniti’ perlindungan daripada diambil tindakan berhubung kesalahan dokumen perjalanan atau pas tidak sah.
”Rohingya tidak sama dengan PATI. Mereka yang memiliki kad UNHCR tidak boleh diambil tindakan atas kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.
”Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang lain yang dikuatkuasakan oleh agensi penguatkuasaan lain,” katanya dihubungi bagi mengulas kedudukan status pelarian Rohingya.
Berhubung penguatkuasaan terhadap PATI secara umum, Zakaria mengalu-alukan maklumat dan aduan daripada orang awam bagi membolehkan Imigresen menyiasat dan menjalankan operasi di mana-mana kawasan disyaki.
”Penguatkuasaan Imigresen adalah berasaskan aduan, risikan dan maklumat awam. Semua maklumat dan aduan yang diterima akan disiasat.
”Namun begitu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya. – Berita Harian
